
Perkahwinan sering mengingatkan kita mengenai majlis gilang – gemilang yang dihadiri sanak saudara, rakan dan taulan serta hiasan yang menambahkan kemanisan majlis penyatuan dua hati itu.
Lebih menawan jika perkahwinan berkenaan dilakukan dilokasi yang sangat istimewa dengan segala – segalanya diatur bagai dongeng indah dengan setiap undangan duduk sopan menunggu saat pengantin melafazkan ikatan janji setia sehidup semati.
Kalau sudah tersurat tuah anda dalam perkahwinan adalah seperti cerita dongeng itu, pasangan Kimberly Yap Huay Sean, 26, dan Kelvin Teo Seh Kiat, 27, mungkin adalah individu paling bertuah kerana berpeluang mengalami majlis perkahwinan yang sangat indah seperti di alam mimpi.
Ini kerana perkahwinan mereka yang ditaja oleh Berjaya Hotels & Resorts (Berjaya) itu diadakan di tepi pantai yang indah seperti di dalam taman dengan gerbang tiang dipenuhi orkid putih dan dedaun hijau dengan disaksikan tetamu istimewa yang benar - benar meraikan hari bahagia mereka itu dengan penuh kesyukuran.
Kimberly dan Kelvin adalah pemenang peraduan perkahwinan impian Love Me ‘Do yang diadakan Berjaya sejak Oktober lalu membabitkan lebih seribu penyertaan pasangan dan mereka adalah yang paling bertuah.
“Sekiranya saya dan Kimberly tidak memenangi peraduan ini, kami tetap akan berkahwin, tetapi majlisnya tidaklah seindah ini walaupun kami ada merancang untuk berkahwin di tempat yang terbuka seperti di tepi pantai,” kata Kelvin ketika ditemui selepas majlis perkahwinannya yang berlansung di Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort, Langkawi, baru – baru ini.
Pasangan berkenaan adalah pemenang peraduan perkahwinan yang diadakan melalui dalam talian anjuran Berjaya yang bertanggungjawab menaja sepenuhnya pasangan yang diumumkan sebagai pemenang.
Mengibaratkan perkahwinan di tepian pantai seperti bulan jauh ke riba, Kelvin amat menghargai usaha yang dilakukan isterinya, Kimberly, yang sanggup mewujudkan blog khusus untuk mendapatkan sokongan meraih undian di kalangan pembaca blog.
“Tugasan dikenakan penganjur supaya mewujudkan laman khas untuk Love Me ‘Do membuatkan kami sentiasa berbincang dalam perkara dan Kimberly adalah insan yang paling bersemangat kerana dia rajin membuat semakan, kemas kini dan segala – galanya berkaitan dengan peraduan ini. Tidak dinafikan kami juga banyak merancang apa yang harus kami lakukan untuk memenangi peraduan ini. Semua rakan dihubungi supaya mereka dapat memberikan sokongan moral kepada kami,” kata Kelvin.
Perhubungan jarak jauh antara Kimberly yang berkerja sebagai ahli farmasi di Singapura dan beliau sendiri, lulusan Institut Teknologi Massachusetts, tetapi kini berpangkalan di Labuan mengakui sangat terkejut dan terharu dengan apa yang dilakukan pihak penganjur terhadap perkahwinan mereka.
“Kami melalui banyak siri perbincangan dengan pihak Berjaya supaya perkahwinan yang diinginkan ini menepati cita rasa. Apa yang kami lalui sebenarnya amat mengejutkan kerana penganjur menyediakan lebih daripada apa yang kami bayangkan. Ianya sangat diluar dugaan. Memang kami membayangkan perkahwinan di tepi pantai yang sangat indah, tetapi sama sekali tidak menyangka kenyataan adalah sungguh mengagumkan malah jauh daripada apa yang kami fikirkan,” kata Kelvin sambil disokong Kimberly yang tidak lekang dengan senyuman manis.
Perkahwinan impian Kimberly dan Kevin tajaan Berjaya itu berharga RM 100,000 keseluruhan dengan tajaan sepenuhnya dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Sehubungan itu, Kimberly dan Kelvin menghadiri banyak sesi suai padan membabitkan sesi ukuran dan padanan busana pengantin, kasut, aksesori serta konsep hiasan yang dikehendaki selain perbincangan mengenai tatarias wajah dan rambut.
Pada majlis bersejarah itu, Kimberly mengenakan gaun pengantin rekaan Chris Wong daripada That Special Occasion, sementara Kelvin pula menyarungkan sut pakaian daripada Noir Concept dengan bantuan kumpulan perunding perkahwinan profesional Nupts & Such, Confetti dan Acadia.
“Kami wajar berterima kasih kepada Berjaya kerana mengadakan peraduan seumpama ini. Diharap peraduan seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia sesuatu yang sangat menggembirakan bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Berjaya Hotels & Resorts, Thang Han-Ni yang bertanggungjawab mencetus ilham peraduan Love Me ‘Do itu, berkata idea berkenaan sudah tiga tahun difikirkan dan Oktober tahun lalu Berjaya direalisasikan.
“Pada mulanya saya hanya terfikir untuk mencari kisah cinta sejati saja, tetapi ia menjadi satu manifestasi yang sangat memberansangkan kerana daripada cinta sejati, muncul kasih sayang yang berpanjangan dan sangat tulus. Dengan cetusan idea itu, ia diperkembangkan menjadi peraduan Love Me ‘Do yang pemenangnya adalah pasangan bertuah Kimberly dan Kelvin,” katanya.
Han-Ni berkata, apabila peraduan itu diumumkan, pihaknya menerima penyertaan yang sangat menggalakkan dan di luar jangkaan. Semuanya perlu disemak bagi memastikan mereka menepati ciri yang ditentukan penganjur.
Dengan empat bantuan rakan sekerja, Han-Ni melakukan kerja berkaitan penuh semangat kerana yakin mereka boleh melakukannnya dengan baik berbekalkan semangat kerja berpasukan yang tinggi.
Kimberly dan Kelvin mendapat 126,154 undian, menerima tajaan sepenuhnya daripada penganjur yang membabitkan gandingan 29 penaja/rakan sekerja selain Langkawi menjadi lokasi perkahwinan idaman itu.
“Langkawi dipilih kerana ia berada dalam persekitaran 99 pulau yang banyak menyimpan sejarah selain lagenda yang sangat mengujakan seperti kisah Mahsuri selain kisah yang juga membabitkan perkahwinan antara keluarga Mat Cincang dan Mat Raya yang nama mereka diabadikan pada gunung di pulau indah ini,” katanya.
Info : Pekahwinan Impian Kimberly dan Kelvin
- Pasangan sama cantik sama padan itu memilih konsep perkahwinan dalam taman di tepi pantai dengan gerbang perkahwinan mereka adalah kubah bertiang empat dihiasi lilitan orkid dan dedaun hijau.
- Perkahwinan indah itu dihadiri 58 ahli keluarga dan sahabat handai yang sama - sama meraikan majlis manis itu.
- Sejurus selepas lafaz perkahwinan dan melakukan upacara simbolik menuang pasir ke dalam bekas kaca, hujan turun dengan lebat membuatkan hadirin terpaksa berteduh di bangsal bersebelahan lokasi.
- Kimberly dan Kelvin menjadi ‘duta’ Berjaya Hotels & Resorts dan secara tidak lansung juga menjadi ahli Group Sosial Responsibility Berjaya selama setahun. Mereka juga akan membabitkan diri dalam kebanyakan kegiatan sosial yang dianjur Berjaya.
Courtesy from Berita Harian Online
