Cintai Terumbu Karang
05 Nov 2009 by Syah Rul Aswari Abdullah, myMetro (Malaysia)


TERUMBU karang mengambil masa jutaan tahun untuk terbentuk. Malangnya, ia mudah mati akibat kesan langsung pemanasan global dan pencemaran tanpa kawalan.

Ini diburukkan lagi dengan kehadiran musuh semula jadinya, tapak sulaiman jenis Mahkota Berduri (Acanthaster planci).

Justeru, Berjaya Redang Beach Resort menganjurkan Hari Pembersihan Sedunia (RICD) 2009 bagi membersih dasar laut di sekitar perairan Pulau Redang, Terengganu.

Memasuki tahun kelima penganjuran, acara tahun ini menarik kira-kira 200 penyertaan termasuk peminat selam skuba, pencinta alam dan media.

Pengurus Besarnya, Karen Merrick, berkata program tahunan itu membangkitkan kesedaran mengenai kehidupan dasar laut dan terumbu karang.

"Program itu bertujuan menyemai kesedaran mencintai alam sekitar," katanya.

Program syarikat itu tahun ini mendapat kerjasama daripada Berjaya Air sebagai penerbangan rasmi, Padi Project Aware dan Scuba Symphony.

Sebelum itu, penyelam yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan bertolak dengan bot masing-masing pada awal pagi ke beberapa lokasi termasuk Berjaya Redang House Reef, Mak Simpang, Chagar Hutan, Turtle Bay dan Bahagia Wreck.

Manakala kumpulan bukan penyelam ditugaskan membersihkan kawasan pesisiran pantai yang panjang termasuk di Taman Laut yang menjadi tumpuan utama pengunjung.

Tahun ini peserta yang terdiri daripada sukarelawan dan penyelam membawa naik 580 tapak sulaiman.

Sesuatu yang tidak menghairankan apabila kumpulan sama turut membawa pulang lima tin minuman aluminium, 12 botol plastik, 10 beg plastik dan 20 puntung rokok yang ditemui di beberapa tapak selam skuba utama.

Program tahun ini turut diisi dengan seminar mengenai usaha pemuliharaan oleh Padi Project Aware dan bengkel fotografi dasar laut oleh Scuba Symphony.



Info tapak sulaiman jenis Mahkota Berduri

  • Mudah ditemui terumbu karang di perairan tropika di Lautan Pasifik, Lautan India dan Laut Merah, ia boleh membiak dari saiz sebesar tapak tangan kepada saiz pinggan.

  • Hanya memerlukan sedikit makanan bagi bertahan untuk tempoh panjang, ia merampas sumber makanan karangan laut dan menyebabkan terumbu karang mati.

  • Racun yang dilepaskan menerusi durinya boleh menyebabkan rasa seperti disengat sekiranya terkena pada manusia. Kesan racun ini boleh menyebabkan seseorang berasa loya dan muntah-muntah dan masih dirasai beberapa jam selepas sengatan.

  • Angka tapak sulaiman jenis ini jika tidak dikawal akan menyebabkan ketidakseimbangan pada ekosistem seterusnya memberi kesan buruk jangka panjang kepada manusia.