![]() |
SUDAH seakan menjadi kemestian rambut lembut panjang mengurai pastinya akan kembang apabila bercuti di pulau. Apa tidaknya, seharian suntuk bermain air laut dan berjemur di pantai pasti meninggalkan kesan negatif kepada rambut.
Ini belum diambil kira kesan klorin ketika berendam dalam kolam di pusat peranginan. Cuaca panas adalah satu rahmat ketika berpergian, namun jika terdedah terlalu lama, ia boleh membuatkan rambut lurus kembali menggerbang menjelang lewat petang.
Menyedari hakikat ini, Spa Ayura di Berjaya Redang Beach Resort menyediakan menu spa rambut khusus untuk tetamu yang mahu kekal anggun selepas seharian di bawah sinaran matahari walaupun berada di pusat peranginan di pulau di Laut China Selatan itu.
Penyelianya, Haslizawati Mohamad, berkata pakej mahkota wanita itu meliputi pilihan terapi melegakan tekanan, memperkuat dan mengukuh kulit kepala serta mengembalikan kelembapan dan sistem memperbaiki rambut antara 45 minit hingga hampir dua jam.
Katanya, penggunaan ramuan semula jadi seperti daun pudina umpamanya berkesan untuk membantu melegakan tekanan di bahagian atas kepala, sekali gus memberi rasa segar dan memberikan sinar semula jadi kepada rambut.
"Spa kepala pula memberikan terapi menyeluruh dengan rawatan kulit kepala dan menyalurkan nutrien utama yang penting kepada pertumbuhan rambut seperti vitamin, protein dan asid amino.
"Sambil jari jemari ahli terapi berpengalaman membelai rambut, badan yang lesu pasti kembali bertenaga apabila kepala, leher dan bahu diurut secara perlahan-lahan. Pakej seperti ini mengambil masa sejam dengan kadar RM199," katanya.
Menu spa rambut ini merangkumi lima pilihan termasuk pakej khas mengembalikan kelembapan rambut khusus rambut kering untuk RM250 bagi tempoh sejam.
Selain itu, pakej pemulihan untuk rambut rosak pula dapat membina semula struktur rambut dari akar untuk mengembalikan seri semula jadinya.
Tetamu yang singgah pasti jatuh hati dengan suasana damai yang mengelilingi spa ini.
Beroperasi dari bangunan penginapan garden suite, ia menawarkan pemandangan landskap hijau hutan pulau.
Justeru, jangan terkejut sekiranya kunjungan anda ke sini disambut oleh burung yang mencari makanan terutama pada awal pagi.
Namun, menurut Hasliza, kebanyakan tetamu lebih gemar memilih terapi urutan untuk mengembalikan kesegaran tubuh selepas menjalankan pelbagai aktiviti lasak seperti snorkling, selam skuba atau bermain sukan pantai.
Katanya, terapi urutan paling istimewa adalah Ayura Signature Massage selama sejam setengah yang memanfaatkan penggunaan bebola mengandungi herba daripada ramuan rempah ratus semula jadi.
"Ahli terapi akan menggunakan bebola yang dihangatkan sebelum dituam perlahan-lahan ke titik saraf utama untuk melegakan otot yang keletihan. Ini akan diikuti urutan melegakan sendi menggunakan campuran aromaterapi Oriental Spice," katanya.
Tetamu juga, katanya, boleh memilih terapi urutan tisu jauh ke dalam yang menggabungkan teknik Shiatsu untuk melegakan tekanan dan melancarkan pengaliran darah.
"Terapi jenis ini amat sesuai untuk mereka yang mengalami 'jetlag' akibat berada dalam perut kapal terbang untuk tempoh terlalu lama," katanya.
Menurutnya, spa itu turut menawarkan perawatan badan termasuk sental garam laut, lulur dengan ramuan semula jadi seperti beras, timun, herba dan bunga-bunga tempatan, selain rawatan nyah toksin menggunakan rumpai laut.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej ditawarkan Spa Ayura, layari www.berjayahotel.com.
Courtesy from myMetro

